Wednesday 25 December 2013

SERAM : ANTARA BANGUNAN YANG MENYERAMKAN DI MALAYSIA



assalamualaikum pembaca Aku dan pensel.Admin harap anda semua sihat selalu.Disini
admin ingin tunjukkan antara bangunan yang menyeramkan dan diklsifikasikan sebagai banggunan berpenunggu atau berhantu.

1.Apartment Rivera II,Cheras



Sekitar akhir tahun 1990-an, apartment ini menempatkan pelajar-pelajar asrama beberapa buah universiti dan juga orang ramai, termasuk warga asing.

Ketika para pelajar baru ditempatkan, tiada apa yang tidak kena dengan bangunan ini. Kegiatan pelajar berjalan rancak meliputi aktiviti keagamaan, pembelajaran dan kecergasan. Bangunan diselenggarakan dengan baik, malah ramai pelajar sering menggunakan kolam renang di bahagian tengah apartment untuk mandi-manda.

Tahun demi tahun, keadaan mula berubah. Bangunan apartment yang dulunya ceria, menjadi semakin suram. Khabar angin bertiup kencang, bahawa bangunan ini menjadi tempat para pelajar berduaan dan melakukan aktiviti maksiat. Sejak semua ini berlaku, semakin banyak kejadian mistik mula berlaku di apartment tersebut.

Menaiki atau menuruni bangunan menggunakan lif menjadi sesuatu yang menakutkan, terutamanya di waktu malam. Kadangkala butang menyala sendiri lantas lif berhenti di tingkat-tingkat tak berpenghuni. Kadangkala muncul pula entiti yang tidak diingini sebaik saja pintu lif terbuka di tingkat-tingkat yang tidak ditekan oleh pelajar. Menaiki tangga pula bakal terserempak dengan entiti lain. Kebanyakan hanya berharap nasib mereka baik tidak bertemu dengan entiti setiap kali menggunakan lif.

Dikhabarkan, banyak kejadian mistik berlaku di apartment ini, sehingga jumlah penghuni kian berkurangan. Selenggaraan bangunan semakin diabaikan, air dalam kolam renang menjadi semakin keruh dan perabot semakin rosak. Kejadian histeria dan rasukan berlaku dengan kerap, sehinggalah pada suatu hari, salah seorang pelajar perempuan dikatakan terjun dari tingkat lima kerana mendengar suara aneh yang memintanya berbuat demikian. Kecederaan pelajar tersebut agak serius, sehingga memaksa pihak pengurusan mengosongkan bangunan tersebut kira-kira enam tahun lalu.

Kini bangunan Apartment Riviera II, Taman Kencana, Cheras hanya tinggal bangunan, tiada siapa pun berani menghuninya. Ia semakin suram dan menyeramkan walaupun dilihat dari jauh pada waktu siang. Hanya kumpulan penyiasat paranormal tempatan yang melawat sekali-sekala menceritakan pengalaman seram mereka sewaktu di sana.

2.Rumah Sewa RM50,Seksyen 2 shah alam



Rumah sewa ini sering diperkatakan, terutamanya sewaktu penulis masih belajar di sebuah universiti di Shah Alam. Ramai yang menganggap ia sekadar legenda urban, dan ada yang mengatakan rumah tersebut memang wujud. Khabarnya, penyewa yang menyewa di rumah tersebut akan diganggu dan biasanya akan berpindah keluar selepas hanya sehari atau dua hari.

Walaupun terdapat pelbagai cerita mengenai rumah tersebut, masih ramai yang cuba hendak menyewa. Mungkin kerana depositnya hanya RM 50? Tuan rumah dikatakan sering menolak sekiranya ada yang hendak menyewa, tetapi kebanyakannya tetap berkeras mahu mencuba. Biasanya jumlah penyewa yang ramai menyebabkan ada yang berani menanggung risiko. Kalau ramai, apa yang hendak ditakutkan bukan?

Namun begitu, percubaan mereka berakhir mengecewakan. Pernah satu kumpulan tabligh cuba menyewa rumah tersebut. Pada hari pertama, di waktu maghrib, mereka duduk berkeliling dan berdoa, secara tiba-tiba satu kepala manusia jatuh di tengah-tengah mereka. Kesemua anggota tabligh terus lari keluar dari rumah tersebut dan tidak pulang lagi.

Cerita yang paling terkenal tentang rumah ini ialah cerita salah seorang penyewa yang pada masa itu berjumlah sepuluh orang. Dua orang dari mereka telah meratakan sedikit busut yang betul-betul berada di belakang pintu dapur. Akibatnya, mereka mula diganggu. Ada antara mereka yang kaki direntap sewaktu sedang tidur sehingga jatuh katil.

Ada pula yang terjumpa batu nesan di atas katil, serta diganggu suara perempuan ketawa mengilai.

Kisah penyewa ini berakhir malang apabila diganggu sehingga dua orang yang meratakan busut telah meninggal dunia, seorang akibat kemalangan semasa lari keluar dari rumah tersebut, dan seorang lagi jatuh sakit selepas itu.

Apa sejarah rumah ini? Khabarnya ia ialah rumah seorang pengamal sihir. Satu ketika dahulu, keluarga pengamal sihir ini dijumpai mati dibunuh di rumah tersebut.

Sehingga kini tidak dapat dipastikan di mana lokasi sebenar rumah tersebut, yang dikatakan berdekatan dengan sebuah taman tema air yang terletak di Seksyen 3, Shah Alam.

3. Kemayan City, Johor Bahru


Sebenarnya bangunan Kemayan City, bolehlah dikatakan sebagai satu projek ‘gajah putih’. Ia pada asalnya hendak dibina sebagai salah satu pusat membeli belah di Johor Bahru sekitar 90’an, namun pembinaannya tergendala apabila berlaku kemelesetan ekonomi pada tahun 1998.

Selepas ekonomi kembali pulih, bangunan itu terbiar begitu saja. Ada yang mengatakan ia menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian, dan ada juga pasangan yang mengambil kesempatan duduk berduaan di situ. Khabarnya, ada juga penagih dikatakan cuba mencuri kabel elektrik di situ, malang sekali mereka terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia.

Sebelum ini tersebar juga cerita mengenai keluarga dari Singapura yang lalu di hadapan bangunan itu melihatnya begitu meriah, dengan lampu warna warni terpasang dan dipenuhi begitu ramai pengunjung. Keluarga ini telah masuk ke bangunan itu, membeli belah dan makan.

Setelah beredar, mereka singgah di rumah saudara dan menceritakan pengalaman membeli belah di situ. Kemudian barulah mereka tahu yang Kemayan City hanyalah bangunan kosong yang terbengkalai. Barang yang telah mereka beli di situ hilang begitu saja manakala baki wang yang didapati bertukar menjadi daun kering.

Kata orang arif, ia ialah kerja syaitan yang mahu melekakan dan menyesatkan manusia. Mungkin ada benarnya.

4. Rumah Banglo Jalan Turi, Bangsar



Rumah ini pernah mendapat liputan meluas sekitar tahun 1992, apabila dua orang kanak-kanak lelaki dan pembantu rumah (kesemuanya warga asing) yang menghuni rumah itu telah dibunuh oleh seorang pengawal keselamatan. Pembunuhan mereka dikatakan dilaksanakan secara kejam, dan mayat mereka dicampak dan disembunyikan dalam lubang najis di belakang rumah.

Akibat perbuatannya, pengawal keselamatan itu telah dijatuhkan dan menjalani hukuman mati. Namun cerita itu tidak berakhir begitu saja.

Rumah banglo itu terbiar tidak berpenghuni apabila pemiliknya pulang ke negara asal. Keadaan rumah tersebut menjadi semakin daif kerana tiada siapa berani tinggal di situ. Perabot telah musnah dan keadaan rumah semakin uzur. Biarpun begitu, acap kali diberitakan orang ramai yang melawat rumah itu atau lalu lalang di bahagian hadapan terlihat bayangan dua orang budak dan juga wanita di situ, terutamanya waktu senja.

Kini, rumah itu telah dirobohkan sepenuhnya. Oleh siapa, tidak pula diketahui. Yang tinggal hanya serpihan rumah saja. Namun bila melihat runtuhan rumah saja pun, seseorang itu masih boleh berasa seram.

5. Penjara Pudu


Antara yang tempat yang terkenal sebagai tempat yang menyeramkan, ialah Penjara Pudu yang terletak di Jalan Hang Tuah. Bangunan penjara itu menempatkan bukan saja banduan biasa malah banduan akhir.

Antara cerita mengenai Penjara Pudu ialah mengenai seorang detektif yang sedang menyoal siasat seorang banduan wanita sekitar tahun 60’an. Sewaktu sedang menyoal siasat secara tiba-tiba kepala wanita tadi terjatuh dan bergolek ke pintu bilik.

Detektif tersebut telah lari keluar dan mendapati sebenarnya dia tidak menyoal siasat sesiapa pun. Banduan wanita tersebut sebenarnya tidak wujud di penjara itu.

Kini Penjara Pudu telah diruntuhkan sepenuhnya dan proses pembinaan bangunan baru sedang dijalankan. Khabarnya sebuah pusat membeli-belah akan dibina di situ.



No comments:

Post a Comment