Dia mempunyai perwatakan menarik dan bijak yang didakwa mampu memikat golongan wanita. Tetapi, di sebalik wajah kacaknya, lelaki dikenali sebagai Ted Bundy ini sebenarnya adalah seorang penculik, perogol, pembunuh bersiri yang pernah menggemparkan Amerika Syarikat (AS) pada era 1970-an.
Pemilik nama sebenar Theodore Robert Cowell ini dilahirkan pada 24 November 1946 di Elizabeth Lund Home di Burlington. Vermont. Dia dibesarkan di rumah datuk dan neneknya di Philadelphia.
Pada 1951, Bundy berpindah ke Tacoma, Washington selepa ibunya, Louise Cowell berkahwin dengan seorang tukang masak Johnny Culpepper Bundy.
Walaupun terpaksa berhadapan dengan tanggapan negatif masyarakat pada masa itu berikutan statusnya sebagai anak tidak sah taraf, Bundy membesar sebagai seorang remaja yang baik dan sering mendapat keputusan cemerlang di sekolah.
Selepas tamat sekolah tinggi pada 1965, dia melanjutkan pengajian ke Universiti Puget Sound, sebelum berpindah ke Universiti Washington pada 1966 atas sebab tidak selesa dikelilingi rakan dari golongan berada.
Walaupun dilabel sebagai pelajar cemerlang, Bundy dikatakan mengalami masalah malu melampau hingga menjejaskan kehidupan sosialnya.
Dia jarang melibatkan diri dengan aktiviti sosial, namun pada 1967 Bundy bertemu dengan cinta pertamanya.
Bagaimanapun, gadis cantik dari keluarga berada tersebut bertindak memutuskan hubungan mereka setahun selepas itu walaupun Bundy telah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hatinya. Bundy mengalami kemurungan selepas berpisah dengan teman wanitanya.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu dia menjalinkan hubungan dengan seorang ibu tunggal yang menggunakan nama samaran, Elizabeth Kendall.
Dia dikatakan mengalami perubahan drastik daripada seorang pemalu menjadi pura-pura berani sebelum kembali semula ke universiti dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Psikologi pada 1972.
Selain itu, Bundy turut mendapat surat perakuan daripada Gabenor Washington, Daniel J Evans kerana membantunya dalam kempen pemilihan semula.
Selepas kemenangan gabenor tersebut, Bundy dilantik sebagai Penasihat Jawatankuasa Pencegahan Jenayah Seattle.
Pada 1973, dia terus melibatkan diri dalam bidang politik dan kerjayanya terus berkembang selepas menjadi pembantu kepada Pengerusi Parti Republikan, Ross Davis.
Ketika ini, ramai wanita di Washington, Seattle dan Oregon mula dilaporkan hilang. Menurut saksi, beberapa mangsa dilihat kali terakhir bersama seorang lelaki muda, berambut gelap dan dikenali sebagai 'Ted'.
Bundy sering memperdaya mangsa dengan cara berpura-pura cedera untuk mendapat simpati mereka.
Pada tahun 1974, Bundy mendaftar sebagai penuntut undang-undang di Universiti Utah dan berpindah ke Salt Lake City. Pada masa itu, beberapa kes kehilangan misteri wanita terutamanya pelajar kolej dilaporkan secara meluas.
Pada Ogos 1975, kejahatan Bundy terbongkar selepas dia ditahan kerana cuba untuk melarikan diri dari polis. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui gari, alat pemecah ais, topeng, tali dan beberapa lagi objek yang mencurigakan.
Bundy diberkas selepas disyaki terlibat dalam kes rompakan berdasarkan penemuan pelbagai barangan tersebut.
Persamaan bahan bukti dan keterangan salah seorang mangsa, Carol DaRonch menyebabkan Bundy dihukum penjara 15 tahun atas kesalahan menculik oleh mahkamah pada 1975.
Dua tahun selepas itu, dia dituduh pula membunuh seorang wanita di Colorado. Ketika perbicaraan, Bundy berjaya melarikan diri tetapi ditahan semula selepas lapan hari.
Pada 30 Disember 1977, dia berjaya meloloskan diri buat kali kedua dari penjara dan perkara itu tidak disedari pihak berkuasa selama 15 jam.
Kelalaian tersebut memberi peluang kepadanya untuk melarikan diri hingga ke Tallahassee, Florida.
Pada 14 Januari 1978, Bundy yang menggunakan nama palsu, Chris Hagen bertindak memecah masuk rumah Kelab Chi Omega di Universiti Florida dan menyerang empat pelajar serta membunuh dua daripada mereka.
Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, dia ditangkap semula oleh polis selepas dipercayai menculik dan membunuh Kimberly Leach, 12, pada 9 Februari 1978.
Pada Julai 1979, mahkamah mendapati Bundy bersalah membunuh dua ahli Kelab Chi Omega dan Kimberly Leach dan dikenakan hukuman mati dengan kerusi elektrik.
Sebelum hukuman itu dilaksanakan pada 24 Januari 1989, Bundy mengaku melakukan 36 pembunuhan di enam negeri di Amerika Syarikat antara tahun 1974 dan 1978 walaupun penyiasat menganggarkan jumlah sebenar mungkin melebihi seratus orang.
sumber
No comments:
Post a Comment